Profil sekolah


SEJARAH SMK DATO' DOL SAID

     Sewaktu sekolah ini memulakan sidang akademiknya yang pertama pada tahun 1965, hanya terdapat tiga blok bangunan bilik kelas sahaja yang menampung pelajar-pelajar tingkatan 1 hingga 3. kini sekolah mempunyai 14 blok bangunan yang terletak  dalam kawasan tanah seluas 7.4 hektar. Terdapat 7 blok bangunan yang mengandungi 50 buah bilik darjah dan 5 makmal sains, sebuah dewan, sebuah blok sains tulen, sebuah blok bangunan bengkel dan perpustakaan, sebuah bangunan koperasi, sebuah surau dan sebuah bangunan makmal komputer serta kantin. Selain itu, SMK Dato Dol Said. juga mempunyai asrama yang terdapat menampung seramai 135 orang pelajar, 4 buah rumah guru/ staf Jumlah pelajar sekarang pada masa ini ialah seramai 1845 orang dengan bilangan guru seramai 95 orang. Pelajar sekolah ini meliputi pelajar dari tingkatan satu hingga tingkatan enam (Aliran Sains). SMK Dato’ Dol Said telah dipilih Oleh Jabatan Pelajaran Negeri Melaka sebagai sekolah kawalan, sekolah ini juga mempunyai kelas Aliran agama dan Rancangan Khas.
      Secara keseluruhannya, dapatlah dikatakan pencapaian pelajar-pelajar di sekolah ini dari segi akademik dan ko-kurikulum meningkat dari tahun ke tahun. Prestasi akademik yang bertambah baik khususnya dalam peperiksaan PMR telah membolehkan sekolah ini mengadakan tingkatan empat buat pertama kali pada tahun 1977. Dalam tahun 1987, tingkatan enam aliran sains pula di tubuhkan dan diikuti dengan tingkatan enam sastera pada tahun 1989, 2005 bertukar aliran sains semula.Seiring dengan perkembangan dalam bidang akademik, sekolah ini terus menempa kemajuan yang cemerlang dalam bidang ko-kurikulum. Misalnya, dalam bidang sukan sekolah ini sering menjuarai pelbagai pertandingan di peringkat kawasan, daerah,negeri dan kebangsaan.
       Kemuncak daripada kejayaan itu ialah pasukan bola sepak sekolah ini telah berjaya menjuarai pertandingan bolasepak MSSM bawah 16 tahun peringkat negeri Melaka (1991), Johan mendeklamasi sajak Negeri (1992), Johan Hoki perempuan bawah-15 (1993). Pada tahun 1994 sekolah ini telah muncul sebagai Naib Johan Sekolah Harapan Negara bagi kategori Sekolah Luar Bandar. Di samping itu sekolah ini juga telah memenangi Anugerah Remaja Perdana Peringkat Gangsa di peringkat Kebangsaan. Tidak sekadar kejayaan tersebut sahaja ia turut diharumi dengan memenangi sagu hati dalam Pertandingan Keselamatan, Keceriaan Dan Keindahan Alam Sekitar  di peringkat Kebangsaan. Oleh kerana kejayaan-kejayaan yang diperolehi membanggakan maka sekolah ini dipilih sebagai sekolah Bestari pada tahun 1998.

Latar Belakang Sekolah Bestari

Pada tahun 1998, SMK Dato’ Dol Said dipilih sebagai salah sebuah Sekolah Bestari (Tahap B) di bawah Projek Rintis Sekolah Bestari, satu projek usahasama Kementerian Pendidikan Malaysia (yang diwakili oleh Bahagian Teknologi Pendidikan BTP) dengan Telekom Smart School Sdn. Bhd. Sekolah Bestari adalah satu daripada tujuh aplikasi “flagship” dalam Koridor Raya Pelbagai Media (Multimedia Super Corridor atau MSC). Sekolah Bestari di Malaysia menampilkan ciri-ciri yang membezakannya daripada sekolah-sekolah sedia ada dari tiga segi:
  •  Sekolah Bestari dihubungkan melalui jaringan tempatan (Local Area Network atau LAN) untuk berkongsi maklumat melalui telekonferencing, pangkalan data dan mel elektronik.
  • Sekolah Bestari dihubungkan melalui jaringan kawasan luas (Wide Area Network atau WAN) ke sekolah lain dan juga organisasi daerah, negara dan dunia.
  • Sekolah Bestari dapat disesuaikan mengikut kehendak guru, pelajar dan pentadbir dengan menyediakan pelbagai perisian aplikasi.

Sekolah ini telah memulakan sidang akademiknya pada tahun 1965 dengan 25 orang guru dan 565 orang pelajar (383 pelajar lelaki dan 182 pelajar perempuan). Nama asalnya ialah Sekolah Anika Jurusan Alor Gajah, kemudian dikenali dengan nama Sekolah Menengah Rendah 23 Alor Gajah. Ketika itu sekolah telah disatukan dengan Sekolah Lanjutan kampung Alor Gajah. Akhirnya sekolah ini dinamakan SEKOLAH DATO’ DOL SAID iaitu mengambil sempena nama seorang patriotik terkenal memerintah Naning iaitu penghulu Naning yang lebih dikenali Dato’ Dol Said. Beliau begitu terkenal dalam perjuangan orang-orang Melayu menentang Inggeris di Naning di Sekitar tahun 1820-an.        Pada 2 oktober 1967 sekolah ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Menteri Pelajaran En. Khir Johari Al-Haj,(Tan Sri). Nama sekolah ini dikekalkan, Cuma sedikit tambahan dengan memasukkan perkataan “menengah” bagi memudahkan kategori sekolah. Sejak daripada penubuhan itu sehinggalah sekarang SMK Dato’ Dol Said ditadbir di bawah pentadbiran 12 orang pengetua. Pada masa kini, sekolah ini telah mencapai perkembangan dan kemajuan dari segi fizikal sekolah, bidang akademik dan ko-kurikulum yang sangat membanggakan.

        Walaupun projek ini telah bermula dengan pemasangan infrastruktur teknologi di sekolah-sekolah pada Ogos 1999, SMK Dato’ Dol Said telah mula menyediakan peralatan dan sistem IT di sekolah sebelum itu. Pada tahun 1998, di bawah kepimpinan pengetua sekolah pada masa itu (iaitu Tuan Haji Wahit bin Kadam) dan PIBG telah mendirikan dua buah makmal lagi, setiap satu lengkap dengan 10 komputer yang berpasangan LAN. Makmal komputer Reka Cipta yang di taja oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) pada tahun 1995 jua telah menyediakan sekolah ke arah mewujudkan satu prasarana elektronik sesuai dengan keperluan aliran maklumat pantas dan akses serta input sumber pengajaran dan pembelajaran dalaman dan luaran secara global.

          Infrastruktur IT di sekolah ini lebih kekal dengan pembinaan satu rangkaian komputer (LAN atau Local Area Network) yang merangkumi sebuah lagi makmal komputer Bestari (21 komputer), Perpustakaan Digital (10 komputer), pejabat (3 komputer) dan bilik guru (3 komputer), 4 printer Laser, 1 kamera digital, 1 scanner, 1 cd-writer, 1 printer bar-code, 2 notebook dan 2 projektor LCD. Guru-guru, staf sokongan dan murid-murid sekolah berpeluang menggunakan computer dalam pengurusan serta pengajaran dan pembelajaran. Talian internet (lease line, yang telah ditukar kepada talian Schoolnet pada tahun 2004) yang dibekalkan ke sekolah boleh diakses sepanjang masa oleh guru-guru untuk mengayakan pengajaran dan pembelajaran mereka. Perisian-perisian Bestari hantaran TSSB (Telekom Smart School Sdn. Bhd) dalam empat mata pelajaran asas (Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik) menolong asas pembelajaran berkomputer bagi murid-murid semua tingkatan. Murid-murid sekolah juga berpeluang menggunakan peralatan-peralatan seperti scanner, kamera digital, printer laser dan cd-writer dalam pembelajaran dan persediaan hasil projek masing-masing. Atas usaha BTP, dua jawatan baru telah diwujudkan khas untuk Sekolah Bestari: iaitu Guru Penyelaras Bestari dan Juruteknik Bestari. Antara tugas-tugas mereka termasuk memastikan kesemua kemudahan Infrastruktur Teknologi berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan dan merancang, mengurus, menyelia dan melaksanakan penggunaan kemudahan Infrastruktur untuk menjalankan aktiviti-aktiiviti Sekolah Bestari seperti penggunaan Sistem Pengurusan Sekolah Bestari (Smart School Management System atau SSMS) untuk pengurusan sekolah, pengajaran dan pembelajaran. 

     Antara bahagian-bahagian perisian SSMS ialah Bahagian Governan Sekolah, Pengurusan Hal Ehwal Murid, Pengurusan Sumber Luaran, Pengurusan Sumber Manusia, Pengurusan Sumber Pendidikan, Pengurusan Teknologi dan Pengurusan Kemudahan Sekolah. Guru-guru yang terpilih (Guru-guru Sumber Mata pelajaran) diberi latihan dalam setiap pengeluaran pakej perisian Sistem Bestari SSMS di samping latihan pengurusan kepada pentadbir dan Penyelaras Bestari, serta latihan penggunaan perisian 4 mata pelajaran Bestari khas (iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik). Guru-guru Sumber Mata pelajaran ini ditugaskan mengembankan pengetahuan ini kepada semua guru-guru mata pelajaran di sekolah selepas setiap kali latihan tersebut.

         Pelajar diberi peluang mengakses maklumat dengan cekap dan selektif. Selain itu strategi belajar secara berkolaborasi dan berbincang dalam kumpulan sangat diberi penekanan. Pelajar belajar secara individu atau dalam kumpulan di stesen komputer atau makmal komputer sangat digalakkan. Mereka boleh memilih menyambung perisian yang berkaitan dengan tajuk yang meliputi semua aspek. Pelajar juga boleh membuat kerja secara perseorangan atau berpasangan. Mereka juga boleh mengkaji aspek-aspek tertentu atau aspek yang mengayakan pengetahuan tentang tajuk mata pelajaran melalui penggunaan internet bagi portfolio masing-masing.


Pelajar Bestari mempunyai ciri-ciri berikut:

  1. Belajar kendiri (self access and self-directed) – mencapai maklumat yang dikehendaki dan mengaitkan maklumat-maklumat itu untuk memahami sesuatu tajuk pembelajaran:
  2. Menilai kendiri (self assessed) – memastikan kelemahan sendiri dan berusaha mengatasi kelemahan itu.
  3. Belajar berkadar kendiri (self paced) – menentukan kadar pembelajaran sendiri. Sistem Bestari perlu memberi peluang kepada pelajar-pelajar yang lemah atau cerdik memajukan diri tanpa batasan.

Pada tahun 2006, SMK Dato’ Dol Said telah dibekalkan dua lagi makmal komputer Mimos untuk meluaskan lagi penglibatan sekolah dalam penyediaan pelajar untuk dunia IT melalui perkembangan mata pelajaran seperti Teknologi Maklumat dan EST (English in Science and Technology). Kini, SMK Dato’ Dol Said, di bawah pimpinan pengetuanya Puan Dr Hjh. Rosnanaini binti Sulaiman, telah mengembangkan infrastruktur teknologi dengan penambahan 28 buah komputer selain daripada 37 komputer bekalan TSSB dan 60 buah komputer yang dibekalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia kearah mencapai visi dan misinya sebagai sebuah sekolah bermultimedia yang sentiasa menguji, memperolehi dan melaksanakan kaedah-kaedah baru dalam pengajaran dan pembelajaran selaras dengan wawasan 2020.




Logo Sekolah dan Keterangan



          Biru: Melambangkan keharmonian dan kesejahteraan dalam suasana pendidikan moden.

Merah: Melambangkan kegigihan dan semangat ingin mebcuba sesuatu yang baru iaitu menerima teknologi berkomputer.Melambangkan matrabat ilmu dan pendidikan berada di tempat yang paling tinggi dalam diri setiap individu.

 Hijau : Melambangkan budaya baru yang segar dalam sistem pendidikan dan mudah diterima oleh semua lapisan masyarakat.
          

Reka bentuk  lambing di reka dari dua gabungan bentuk iaitu:
  1. Sebuah computer yang telah distailkan dan
  2.  Litar bersepadu

      Garisan yang mengabungkan bulatan kecil dengan bulatan besar berdasarkan konsep litar bersepadu yang terdapar dalam setiap alat elektronik. Simbol manusia dalam skrin monitor melambangkan pelajar, tenaga pengajar, dan kakitangan sekolah dalam ruang lingkup pendidikan canggih, bertepatan dengan status Sekolah Bestari.


Visi , Misi dan Moto sekolah





No comments: