PERANAN
PERSATUAN Ibu Bapa dan Guru (PIBG)
adalah organ penting kepada sesebuah institusi pendidikan rendah dan menengah.
Fungsi dan tanggungjawab PIBG amat besar serta mencabar, ke arah meningkatkan
akses, ekuiti, kecekapan, keberkesanan dan kualiti pendidikan negara yang lebih
komprehensif, berwibawa serta bertaraf dunia.
Objektif dan visi PIBG hendaklah selari
dengan Misi Nasional; Dasar Pembangunan Negara; Falsafah Pendidikan Negara
(FDN); Dasar Pendidikan Negara (DPN); Pelan Integriti Nasional (PIN); dan prinsip
Islam Hadhari.
Akta Pendidikan 1961 memperuntukkan
bahawa PIBG adalah entiti utama dalam sesebuah sekolah dan asas penubuhannya
termaktub dalam akta tersebut. PIBG berperanan sebagai rakan kongsi sekolah
dalam menyelesaikan masalah, birokrasi dan isu yang timbul. Badan ini juga
bertindak sebagai wadah, forum dan khidmat bakti untuk kemajuan serta
pembangunan pelajar dan sekolah.
Ini turut meliputi sistem pentadbiran
dan pengurusan sekolah, akademik, disiplin, sistem pemantauan dan penilaian.
Penekanan kepada kurikulum dan pentaksiran amat penting, termasuklah pemantauan
maklumat dan komunikasi, penyelidikan dan pembangunan, kewangan serta
infrastruktur sekolah.
Perlembagaan PIBG menetapkan bahawa
keahlian badan ini hendaklah terdiri daripada setiap guru dan ibu bapa yang
anak mereka menuntut di sekolah berkenaan. Institusi ini boleh bertindak
melengkapkan prasarana keperluan fizikal sekolah dan murid seperti projek
makmal komputer; penyediaaan akses jalur lebar SchoolNet ke sekolah;
perpustakaan yang lengkap; program TV Pendidikan; pusat sumber yang mapan;
kemudahan sukan dan rekreasi yang mantap dan berkesan; serta pelbagai inisiatif
teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang lain. Ini termasuklah kemudahan
akses internet, paparan kristal cecair (LCD), kafe siber di sekolah dan
lain-lain lagi yang mampu menyokong aspirasi kecemerlangan sekolah.
Inilah agenda dan misi yang sepatutnya
menjadi matlamat serta perjuangan barisan kepimpinan dan pengurusan PIBG. Dan
bukannya menjadikan PIBG sebagai platform politik murahan, gelanggang mengejar
nama dan pangkat, medan mesyuarat ala kedai kopi atau perebutan jawatan demi
kepentingan diri sendiri dan mempunyai agenda tersembunyi yang tidak memberi
sebarang manfaat dan kebaikan kepada pembangunan sekolah dan masa hadapan
pelajar.
Barisan kepimpinan PIBG juga hendaklah
menginsafi dan dengan penuh tanggungjawab melaksanakan tugas dan amanah yang
dipikul di bahu mereka.PIBG yang bertindak sebagai entiti utama, membolehkan
kelompok ibu bapa dan guru berkongsi dan bertukar pendapat serta maklumat
mengenai pendidikan semasa dan method meningkatkan lagi prestasi akademik dan
kokurikulum pelajar. Pembangunan modal insan perlu dengan tumpuan kepada sistem
nilai, aspek disiplin, sahsiah, akhlak, dan jati diri pelajar.
Ini bermatlamat melahirkan produk
generasi pelajar yang berkualiti, bersepadu dan seimbang. Hasilnya produk
pelajar tersebut kompeten dalam sains dan teknologi, inovatif, mampu bersaing
di pasaran global, berdikari, kreatif serta kebolehpasaran dalam apa jua bidang
dan jurusan yang diceburi mereka pada masa akan datang.
Pengumuman keputusan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) baru- baru ini
sekali lagi menguji tahap prestasi sekolah dan keberkesanan fungsi kepimpinan
dan pengurusan PIBG. Badan ini sedikit sebanyak memberi impak positif melalui
program dan aktiviti yang dianjurkan.
PIBG juga dilihat mampu bertindak
sebagai peneraju serta pencetus kejayaan pelajar di dalam peperiksaan awam yang
diduduki, di samping faktor dalaman dan luaran lain yang menjadi asas kepada
kejayaan mereka. Persoalannya ialah sejauhmanakah PIBG telah berjaya menentukan
hala tuju dan misi sekolah agar terus berada pada landasan yang betul.
Adakah matlamat, piawaian dan penanda
aras yang ditetapkan, berjaya dicapai oleh PIBG dan sekolah ke arah melahirkan
generasi yang memiliki ciri-ciri pemikiran dan tindakan glokal, patriotik,
berdisiplin, beradab dan beretika, menjunjung tinggi warisan budaya dan
kesenian bangsa.
Bagi sekolah yang peratusan kelulusan
masih rendah atau gagal mengekal prestasi kecemerlangan sekolah, maka PIBG dan
pihak sekolah perlu melakukan sesuatu bagi menaikkan imej, identiti dan menjaga
nama baik sekolah agar tidak dipandang rendah.
Mungkin lebih banyak kelas tambahan
perlu diadakan dengan memanggil guru pakar memberi latihan serta
memperbanyakkan kursus motivasi kepada pelajar yang lemah dan kurang potensi.
Medium pembelajaran berteraskan akses Internet hendaklah digalakkan kerana
pelajar boleh mengaplikasikannya sebagai sumber rujukan tambahan yang tiada di
dalam bilik darjah, buku teks dan rujukan lain.
Banyak portal dan blog pendidikan yang
berfaedah kepada pelajar dan guru untuk diterokai, sama ada produk tempatan
ataupun luar negara. Pelajar juga mudah menyerap serta memahami apa yang telah
mereka pelajari menerusi program multimedia dan internet yang membolehkan
mereka mengulang kaji pada bila-bila masa sahaja. Mereka juga boleh
berinteraksi dan berbincang berkenaan pembelajaran dengan rakan-rakan dari
sekolah yang sama atau berlainan melalui medium Internet. Ini menjadikan
suasana dan realiti pembelajaran menjadi lebih menarik, moden dan mesra IT.
Pembelajaran pintar ini dapat diaplikasikan melalui medium e-mel, chatting,
blog dan sebagainya dari bilik masing-masing atau di kafe siber sekolah.
Oleh yang demikian, PIBG perlu
memikirkan tentang perlunya penyediaan kemudahan kafe siber di setiap sekolah
bagi membolehkan pelajar dan guru berinteraksi sesama mereka di luar waktu
persekolahan. PIBG juga hendaklah mampu memandu sekolah sebaris dengan kelompok
sekolah bestari dan berpotensi dikategorikan di dalam sekolah kluster atau
Kelompok Sekolah Cemerlang (KSC) seperti yang diumumkan baru-baru ini.
Peruntukan sebanyak 300 buah sekolah kluster seluruh negara perlu diisi dan
dimanfaatkan sepenuhnya.
Manakala Sekolah Bestari pula yang
diperkenalkan pada tahun 1999 sebagai menyokong aspirasi Wawasan 2020 dalam
mewujudkan sebuah generasi baru modal insan yang pemikir serta celik teknologi
bagi menghadapi cabaran era maklumat serta ekonomi yang berasaskan pengetahuan
global menerusi aplikasi utama MSC Malaysia.
Ini adalah penanda aras dan objektif
kecemerlangan yang perlu diusahakan oleh sesebuah sekolah yang mahu ke hadapan
dan berdaya saing.
Di samping itu juga, PIBG perlu mencari
formula mujarab dan berkesan bagi menangani masalah sosial pelajar sekolah yang
semakin parah dan serius. Masalah merokok, penagihan dadah dan pornografi, seks
bebas dan pelbagai bentuk jenayah lain seperti mencuri, mencabul, membuli dan
sebagainya hendaklah dibanteras secara bijak dan berhemah agar perkara ini
tidak terus berlarutan dan menjadi barah dalam dunia pendidikan.
Peningkatan dan pertambahan jenayah dan
masalah sosial ini amat membimbangkan, maka PIBG hendaklah segera bertindak dan
mencari jalan penyelesaian yang positif. Satu pelan bertindak yang holistik dan
realistik diperlukan agar perubahan dan pembaharuan dapat dilakukan melalui
kaedah, formula dan method terbaik dan paling berkesan. Untuk itu, penglibatan
dan kerjasama semua pihak perlu bagi mengatasi masalah.
Inisiatif ini perlu digemblengkan
sewajarnya dengan bantuan pihak kerajaan, ulama, ahli politik, tokoh
pendidikan, NGO, majlis alumni sekolah, pihak swasta dan masyarakat seluruhnya.
Pelancaran Pelan Induk Pembangunan
Pendidikan (PIPP) 2006-2010, menuntut PIBG turun padang merencanakan teras
strategi PIPP ke arah membina negara bangsa; membangunkan modal insan;
memperkasakan sekolah kebangsaan; merapatkan jurang pendidikan; memartabatkan
profesion keguruan; dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan.
Sekiranya semua elemen ini berjaya diterjemahkan sebaiknya, maka dinamika dan
keanjalan sistem pendidikan mapan kita akan dicontohi dan dikagumi dunia.
Pelan ini hendaklah dilaksanakan dengan
bersungguh-sungguh, cekap, berhikmah, telus, amanah dan bertanggungjawab.
Langkah ini sejajar dengan hasrat yang terkandung dalam Misi Nasional dan
penekanan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang menetapkan pembangunan
modal insan yang memiliki minda kelas pertama. Gagasan dan misi besar ini tidak
akan berjaya, sehinggalah subjek sasaran atau pelajar digilap dengan prinsip
agama dan kemanusiaan.
Di samping itu, pihak PIBG seharusnya
bijak mengadakan jaringan dan kerjasama bijak dengan institusi pendidikan
terbaik dan cemerlang tempatan dan luar negara seperti Singapura, Amerika
Syarikat dan England. Perkongsian pintar maklumat dan teknologi pendidikan
terkini perlu diadakan agar sistem pendidikan tempatan lebih efisien,
sofistikated, kompeten dan tidak ketinggalan zaman.
Melalui perkongsian pintar ini maka
medan pendidikan di negara kita menjadi lebih terbuka, seimbang dan seiring
dengan peredaran zaman. Melalui kepimpinan dan pentadbiran PIBG yang cekap dan
profesional, maka tidak mustahil sistem pendidikan di negara kita bakal berada
dalam keadaan yang harmoni, kreatif, inovatif, akomodatif, moden serta ekonomik
sepanjang masa.
No comments:
Post a Comment